Followers

Tuesday, February 17, 2015

Pemutihan kulit boleh undang barah!



WANITA mana yang tidak berbangga apabila memiliki kulit cerah dan mulus tanpa sebarang noda.
Bahkan kebanyakan iklan di kaca televisyen sering kali memaparkan wanita berkulit cerah yang dianggap lebih cantik berbanding wanita berkulit gelap atau sawo matang. 
Ini menyebabkan ramai yang ingin memiliki kulit yang cerah seperti artis pujaan mereka walaupun hakikatnya ton kulit yang dimiliki mereka sangat sukar untuk merubah kepada apa yang dikatakan ‘cerah’ atau didefinisikan sebagai ‘putih’.

Untuk mendapatkan kulit putih atau tepatnya lebih cerah, bukanlah dengan cara atau teknik ‘segera’.

Sebagai wanita anda sepatutnya berasa curiga sekiranya sesuatu produk itu mampu memberi kecerahan kulit dalam waktu yang singkat.

Pada asasnya, krim pemutih adalah campuran bahan kimia bertujuan memberi wajah lebih pucat pada kulit.

Dalam jangka waktu lama krim itu dapat menghilangkan atau mengurangi hiperpigmentasi pada kulit.

Namun penggunaan secara berterusan akan menimbulkan pigmentasi dengan kesan secara kekal.

Menurut pakar estetik dan pemilik Klinik Thalia, Dr Shaharom Sulaiman, secara umumnya terdapat pelbagai jenis krim pemutih di pasaran dan kandungan yang dibenarkan untuk memutihkan kulit adalah terdiri daripada pati soya, vitamin C , vitamin E , albutin , asid kojic , liquorice dan mulberry.

Kandungan ini dibenarkan untuk krim pemutih yang dijual di farmasi atau kaunter kosmetik saja manakala krim pemutih yang dibenarkan di kebanyakan klinik estetik dan klinik pakar kulit hanya mengandungi dua hingga empat peratus hidrokuinon dan 0.025 sehingga 0.1 peratus tretinoin saja dan selebihnya adalah berbahaya.

Penggunaan produk kosmetik yang mengandungi hidrokuinon secara berlebihan sehingga lima peratus dilaporkan memberi kesan sampingan seperti radang dan rasa panas pada kulit.

Hidrokuinon adalah zat reduktor yang mudah larut dalam air dan lazim digunakan dalam proses mencuci foto cetak. Bahan ini sangat berbahaya walaupun ia berfungsi menjadikan kulit cerah dalam tempoh yang singkat. Namun lama-kelamaan, ia akan mendap di bawah kulit sehingga bertahun-tahun dan akhirnya kulit bertukar biru kehitaman, lebih buruk akan menyebabkan kanser kulit.

Di Amerika Syarikat pada 2006, Pentadbiran Makanan dan Ubat-ubatan (FDA) melarang semua produk kosmetik mengandung hidrokuinon kerana dianggap ubat-ubatan dan hanya boleh dibeli di bawah pengawasan doktor saja manakala di Indonesia, larangan itu mula berkuat kuasa pada 2008.

Sementara itu di Malaysia, Biro Pengawalan Farmaseutikal Kebangsaan, Kementerian Kesihatan Malaysia tidak mendaftarkan kosmetik mengandungi hidrokuinon dan produk ini diklasifikasikan sebagai produk tidak berdaftar.

Menurut Dr Shaharom, kemampuan hidrokuinon yang luar biasa dalam pembentukan melanin menjadikannya bahan kosmetik popular untuk pencerahan kulit.

Malah, ahli dermatologi beranggapan hidrokuinon paling efektif apabila digunakan empat hingga 10 peratus sehingga menjadi satu-satunya pencerah kulit yang dipersetujui FDA selama 25 tahun.

Namun menyedari bahan ini boleh membahayakan kulit, ia kemudian diharamkan.

“Namun begitu di pasaran masih terdapat banyak produk kosmetik mengandungi hidrokuinon dan tretinoin pada tahap yang tinggi. Kandungan yang tidak terkawal ini boleh memberi kesan sampingan berkekalan seperti alahan yang teruk, jeragat degil (tompok hitam yang leper di dalam lapisan kulit atau biji seperti ketumbuhan kecil pada kulit) dan masalah kulit Ochronosis,” katanya yang turut menolak dakwaan mengatakan krim pencerah boleh menghilangkan jeragat, namun sebenarnya tidak.

Ini kerana jeragat yang pelbagai seperti melasma, jagat dan pigmentasi selepas radang boleh berada di pelbagai lapisan kulit dan ia seharusnya dirawat pakar estetik.

Di samping itu, krim pemutih mengandungi AHA atau asid alpha hydroxy yang boleh menyebabkan kulit mengelupas juga sepatutnya di bawah pengawasan doktor estetik saja manakala krim pemutih yang dijual sebagai produk kosmetik juga seharusnya tidak boleh mengandungi tretinoin kerana kandungan kimia dalam bahan ini boleh menyebabkan kulit panas dan mengelupas dengan teruk.

“Ada sesetengah kes krim pemutih boleh menyebabkan kulit terbakar, sepatutnya ini tidak berlaku. Masalah ini berkemungkinan disebabkan kulit alah kepada bahan kosmetik daripada sumber meragukan atau mengandungi AHA atau tretinoin yang boleh membahayakan kulit,” katanya.

Wanita dinasihatkan tidak terburu-buru menggunakan produk pemutih disebabkan ingin mendapatkan kulit cerah tanpa mendapatkan panda­ngan doktor terlebih dulu.

Krim pencerah sepatutnya hanya mencerahkan kulit secara keseluruhan, namun langkah pencegahan semula jadi yang perlu diambil adalah dengan mengelak daripada terdedah terlalu lama di bawah sinaran matahari. Ini kerana cahaya matahari mengandungi sinaran ultraungu (UV) A dan UVB yang berupaya menggelapkan kulit.

“Amalkan penggunaan krim pelindung matahari mengandungi SPF 30 sehingga SPF 35 serta menggunakan peralatan seperti payung dan topi yang mampu menghalang sinaran UV daripada menembusi kulit. Di pasaran terdapat vitamin yang baik untuk kulit seperti vitamin C, vitamin E dan vitamin B manakala pengambilan makanan mengandungi vitamin ini sangat membantu melindu­ngi kulit daripada bermasalah.

“Ada juga kajian mendapati minum banyak soya boleh membantu mencerahkan kulit,” katanya.

Selain itu, pastikan krim pencerah yang dibeli tidak menyebabkan kulit mengalami radang. Antara tanda radang ialah kulit menjadi merah, gatal atau bertambah gelap serta menyebabkan kulit mengelupas secara berlebihan atau kulit menjadi panas dan pedih apabila disentuh.

Apabila semua tanda ini dialami selepas menggunakan krim pencerah, ini menunjukkan produk ini tidak sesuai dan membahayakan kulit anda.

http://www.dyaromantikabeauty.blogspot.com/2015/01/kursus-mobile-spa-2015-kursus-jangka.html?m=1

Artikel ini disiarkan pada : 2011/06/30 - See more at: http://www2.hmetro.com.my/articles/Pemutihankulitbolehundangbarah/Article#sthash.x9Lnc0Mk.dpuf

No comments:

Post a Comment